Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas
KAMPUNG MATA-MATA, Isnin, 11 Mei. - Masjid Jubli Intan dihasrat untuk menjadi mercu tanda kepimpinan bijaksana lagi berdaulat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Ulul Amri yang menerajui Negara Brunei Darussalam (NBD) di atas landasan Melayu Islam Beraja (MIB) menuju hasrat murni iaitu sebuah negara yang 'Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur'.
Ini juga amat bermakna kerana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bukan sahaja merupakan raja yang paling lama memerintah di dunia pada masa ini bahkan di dalam sejarah dunia Islam dan juga merupakan antara ketua negara yang paling lama berkhidmat.
Demikian dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dalam sembah alu-aluan pada Majlis Peletakan Batu Asas Masjid Jubli Intan bertempat di Tapak Pembinaan Masjid Jubli Intan, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Mata-Mata, Kawasan 3, Mukim Gadong 'B', pagi tadi.
“Setentunya ini adalah suatu pencapaian bersejarah dan teramat gemilang, yang menandakan nikmat, kurnia dan kasih sayang Allah Subhanahu Wata'ala kepada Kebawah Duli Tuan Patik, ahli-ahli kerabat Kebawah Duli Tuan Patik serta seluruh rakyat NBD yang patut disyukuri bersama-sama," sembah Yang Berhormat.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat-kerabat diraja ke majlis ini, sembah Yang Berhormat, yang juga merupakan salah satu majlis rasmi yang pertama diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta yang insyaaAllah akan di sambut dan diraikan dengan penuh gemilang pada 5 Oktober 2027 tahun depan, adalah suatu kurnia yang amat bermakna dan istimewa.
Yang Berhormat seterusnya menyembahkan, bahawa cadangan pembinaan Masjid Jubli Intan ini adalah sebagai simbol rasa syukur dan ketaatan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, di samping menjadi sebuah pesambah istimewa dan tulus ikhlas daripada rakyat kepada raja Ulul Amri yang dikasihi.
“Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Tuan Patik, beberapa sesi perbincangan telah pun diadakan mengenai cadangan reka bentuk serta perkara-perkara berkaitan dengan pelaksanaan projek pembinaan Masjid Jubli Intan.
“InsyaaAllah, disembahkan Masjid Jubli Intan ini dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala dan berkat daulat Kebawah Duli Tuan Patik jua dijangka siap sepenuhnya pada penghujung bulan Julai 2027," sembah Yang Berhormat.